Guru wanita didakwa berselingkuh dengan suami orang direhatkan
NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) merehatkan seorang guru wanita daripada tugas mengajar susulan dakwaan hubungan sulit dengan lelaki berstatus suami, yang tular dalam kalangan warganet.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tindakan itu diambil bagi memastikan proses siasatan terhadap guru terbabit berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Kita telah mengambil langkah tegas dengan merehatkan guru berkenaan daripada tugasan mengajar. Namun begitu, beliau masih menjalankan tugas sebagai penjawat awam sementara menunggu siasatan selesai,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM Peringkat Kebangsaan anjuran Farm Fresh Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah.
Fadhlina, yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, menegaskan KPM memandang serius isu yang menyentuh integriti dan etika warga pendidik, lebih-lebih lagi yang tular di media sosial.
“KPM mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan semua guru mematuhi prinsip integriti serta etika perguruan yang telah ditetapkan. Sebarang dakwaan berkaitan akhlak dan tingkah laku guru akan diteliti dan disiasat secara menyeluruh.
“Isu melibatkan etika dan maruah profesion perguruan tidak akan dipandang ringan, sama ada dilaporkan secara rasmi mahupun tersebar melalui platform tidak formal.
“Kita komited memastikan imej profesion perguruan tidak tercemar dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan,” ujar beliau.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan mengenai seorang guru wanita yang didakwa menjalinkan hubungan tidak bermoral dengan seorang juruelektrik yang telah berkahwin.
Isu itu mendapat perhatian selepas wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, namun menerima kecaman hebat daripada warganet.
Perkara itu menjadi lebih serius apabila beberapa tangkap layar perbualan berunsur lucah antara kedua-duanya tersebar di aplikasi WhatsApp.
Pihak kementerian memberi jaminan setiap aduan berkaitan kelakuan guru akan diberi perhatian sewajarnya demi menjaga maruah serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






