Berita SemasaDalam Negeri

Guru sebak bawa dua pelajar lawat jenazah bapa meninggal dalam kemalangan

DENGKIL – Seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah kebangsaan di sini berkongsi detik sedih sewaktu membawa dua anak muridnya ke Hospital Putrajaya selepas bapa mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Muhammad Shahrom Shafie berkata, ketika masuk ke dalam kereta, dua beradik itu kelihatan teruja dan mereka terus bertanya hendak pergi ke mana.

“Saya sebak menahan air mata apabila si adik yang berada di tahun 1 bercerita bahawa ibunya sudah membelikan baju raya untuk ayah mereka.

Empat daripada enam anak mangsa sedih apabila mengetahui bapa mereka meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya dari sekolah oleh guru mereka.

“Allahuakbar, saya tidak sampai hati hendak beritahu apa yang telah terjadi pada arwah bapanya.

“Sementara itu, si abang yang berusia 11 tahun mula pelik apabila saya tidak terus memandu ke rumah mereka di Dengkil tetapi ke Hospital Putrajaya.

“Bila dia bertanya, hendak ke mana ni Mister, saya terus minta maaf dan beritahu ada sedikit urusan di sana,” tulis beliau dalam satu perkongsian di group WhatsApp sekolah.

Menurut beliau, sebaik sampai di hospital, si abang hanya diam dan selepas masuk ke bilik jenazah, barulah diberitahu oleh ibu mereka mengenai apa yang berlaku.

“Ya Allah, aku mohon pada-Mu, Kau peliharalah anak-anak syurga ini dan temukanlah mereka dengan arwah bapanya di dalam syurga-Mu. Kau bahagiakanlah mereka di 1 Syawal nanti. Al-Fatihah buat Allahyarham Syed Shaufira,” tulisnya lagi.

Gambar pada hari kejadian berhampiran Bandar Sunsuria selepas kemalangan yang mengorbankan nyawa mangsa.

Dalam kejadian pada pagi 19 Mac lalu, bapa murid-murid tersebut, Syed Shaufira Syed Sahari, 46, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta berhampiran Bandar Sunsuria, dekat sini.

Jelas Muhammad Shahrom, arwah bapa mereka merupakan individu yang amat disenangi oleh keluarga, jiran dan masyarakat setempat kerana memiliki buki pekerti yang baik.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Wan Roziana Wan Yaacob yang tidak bekerja dan enam anak.

Bagi mereka yang mahu menyalurkan sumbangan, boleh berbuat demikian di akaun Maybank Wan Roziana 164173651238. Pihak keluarga juga merayu jika ada saksi kejadian agar tampil untuk membantu siasatan polis dengan menghubungi kakak arwah, Sharifah Sharmila di talian 019-383 1064.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button