BERITA SEMASA

Guru kongsi pelajar meninggal sebelum keputusan SPM undang sebak netizen

KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang guru mengenai pelajarnya yang meninggal dunia sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial.

Melalui satu hantaran di Facebook, Muslim Ismail memberitahu pelajar tersebut hampir dibuang sekolah kerana kerap ponteng ketika berada di tingkatan 4.

“Seorang murid baik dan lurus, tiada masalah disiplin, cuma kerap tidak hadir ke sekolah.

“Atas usaha GPK HEM dan kaunselor, dia datang semula ke sekolah.

“Mungkin dunia persekolahan tidak mesra padanya, bidang akademik yang penuh persaingan dan perbandingan mungkin menyebabkan dia menjauh disebabkan kelemahannya untuk memahami dan mengingat,” tulis Muslim.

Menurutnya lagi, pelajar tersebut suka menyanyi dan itu menyebabkan beliau masukkannya ke dalam kumpulan puisi dan lagu sekolah.

Malah katanya walaupun tidak menang, pelajar itu mula suka datang ke sekolah kerana mungkin rasa dihargai.

“Mungkin itu juga menjadi antara memori terbaiknya di alam persekolahan.

“Dalam subjek landskap yang aku ajar, dia tak pernah lulus pun peperiksaan, tapi dia rajin dan ringan tulang menyiapkan tugasan.

“Walaupun tidak sempurna, tetapi dia berusaha. Aku tak marah pun sebab aku tahu kelemahannya.

“Kadangkala bila dia ditinggalkan bas selepas tuisyen petang, waktu aku hantar pulang, sempat juga aku titip kata-kata.

“Hari ini dia dapat A- (subjek Landskap dan Nurseri). Tapi aku tak dapat jumpa dia untuk ucap tahniah. Dia dah pergi Isnin lepas kerana jangkitan kuman selepas pembedahan apendiks,” kongsi Muslim lagi.

Beliau juga menutup perkongsiannya itu dengan kata-kata yang meruntun hati.

“Awak tak banyak dosa. Nanti tolong saya kalau saya di sebelah satu lagi, pinta pada Tuhan supaya saya diampunkan.”

Sehingga artikel ini ditulis, hantaran itu telah meraih 1,200 reaksi, 84 komen dan 499 perkongsian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button