BERITA SEMASADALAM NEGERI

Gunung Kinabalu sebagai hab komunikasi pelancongan

KOTA KINABALU — Penambahbaikan perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pos Malaysia Berhad menjadikan tarikan pelancongan itu sebagai hab destinasi yang unik.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi nasional dalam memperkukuh infrastruktur digital dan kemudahan komunikasi di kawasan tumpuan pelancong, sejajar dengan aspirasi negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata pengukuhan perkhidmatan pos di Gunung Kinabalu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses komunikasi hingga ke lokasi beraltitud tinggi.

“Peti pos di puncak Gunung Kinabalu bukan sekadar kemudahan logistik. Ia adalah simbol hubungan antara manusia dengan alam, antara teknologi dan warisan semula jadi,” kata beliau dalam satu kenyataan selepas menamatkan lawatan kerja rasmi selama tiga hari di kawasan tersebut.

“Perkhidmatan yang ditambah baik termasuk pelancaran poskad edisi terhad serta penyediaan cop pembatalan khas yang eksklusif bagi barang yang dihantar dari puncak gunung, bakal menjadi nilai tambah kepada pengalaman pelancongan yang unik dan berbeza.

“Pelancong kini boleh membawa pulang bukan sahaja kenangan visual, tetapi juga memorabilia pos yang hanya boleh diperoleh dari lokasi ikonik ini. Ia memberikan sentuhan peribadi yang sukar didapati di tempat lain,” tambah beliau.

Semasa lawatan tersebut, Teo turut diberikan taklimat teknikal oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara berkaitan inisiatif pemantapan liputan rangkaian di kawasan pendakian, termasuk penggunaan aplikasi pemantauan MCMC Nexus bagi menilai tahap kualiti perkhidmatan di lokasi yang mencabar.

Kerjasama strategik antara MCMC, Pos Malaysia dan syarikat-syarikat telekomunikasi seperti CelcomDigi, U Mobile, Telekom Malaysia dan Maxis dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan ekosistem komunikasi menyeluruh yang mampu menyokong keperluan pelancong serta penggiat industri tempatan.

Turut hadir pada majlis penutupan lawatan ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya; Ketua Pegawai Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao serta wakil-wakil daripada Taman Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Dengan pendekatan menyeluruh dan berpaksikan kemudahan rakyat, inisiatif itu dijangka memberi impak positif terhadap pemerkasaan sektor pelancongan negara, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra teknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button