
Guna teknologi terkini, fokus pada keberkesanan kos projek – PM Anwar kepada KKR
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu meneruskan penggunaan teknologi terkini yang sesuai dan menjimatkan kos bagi perancangan, penyediaan dan pembinaan bagi memastikan pelaksanaan projek dengan lebih cekap dan segera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KKR dan agensi-agensi di bawah seliaannya merupakan organisasi yang sangat kritikal, memandangkan KKR juga merupakan pelaksana utama bagi projek-projek berskala besar dan sederhana.
Beliau berkata, projek itu merentasi semua Kementerian di bawah Rancangan Malaysia termasuk projek-projek kecil merentasi negeri dan daerah bagi memenuhi keperluan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“KKR juga perlu merencanakan kaedah dan proses yang baharu dengan melaksanakan idea, strategi, perubahan dan reformasi yang cepat selari dengan arus teknologi dan arus pembangunan negara masa kini dengan sumber yang terhad.
“KKR juga mesti berusaha menghasilkan infrastruktur yang berkualiti dan berfungsi seperti mana yang dimatlamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan, hadir ke Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya bagi mendengar perkembangan terkini gerak kerja KKR, mengenal pasti permasalahan yang berbangkit serta mengambil peluang untuk mencadangkan dan berbincang idea-idea tambahan.
Turut hadir dalam mesyuarat itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Susulan itu, Alexander menyambut baik saranan Perdana Menteri dan menyatakan akan terus memberikan komitmen tinggi dalam memastikan negara Malaysia kembali bangkit dan maju ke hadapan.
“Cara kerja lapuk perlu diberi sentuhan transformasi dan anjakan paradigma demi memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar memberi nilai terbaik kepada rakyat.
“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, setiap jalan yang dibina, setiap jambatan yang dinaik taraf dan setiap projek yang diterajui bukan sekadar memenuhi angka atas kertas. Ia adalah nadi kehidupan rakyat,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |