BERITA SEMASAJOM RONDALUAR NEGARA

Guam, ‘permata pasifik barat’ tarikan baharu pelancong antarabangsa

TERLETAK kira-kira 2,500 kilometer dari Filipina di tengah-tengah Lautan Pasifik, wilayah Amerika Syarikat, Guam kini semakin menjadi tumpuan pelancong antarabangsa berikutan keunikan lokasinya yang menggabungkan keindahan tropika, warisan sejarah Perang Dunia Kedua dan kemudahan moden bertaraf antarabangsa.

Dikenali sebagai ‘Permata Pasifik Barat’, Guam menawarkan pengalaman budaya yang unik melalui warisan masyarakat pribumi Chamorro yang kaya dengan adat resam tersendiri hasil pengaruh Sepanyol dan Amerika Syarikat sejak abad ke-16.

Pulau bebas cukai sebagai tarikan utama

Guam

Guam Premier Outlets (GPO) menawarkan diskaun untuk pelbagai jenama seperti Calvin Klein, Levi’s, Nike, Coach dan Skechers. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Statusnya sebagai pulau bebas cukai menjadikan Guam antara destinasi beli-belah terbaik di rantau Pasifik, dengan penjimatan ketara bagi barangan berjenama seperti kosmetik, fesyen, jam tangan, aksesori mewah dan barangan elektronik tanpa cukai import atau jualan.

Antara lokasi tumpuan membeli-belah utama ialah T Galleria by DFS di Tumon, yang menampilkan jenama antarabangsa seperti Gucci, Louis Vuitton, Bvlgari dan Dior.

Guam Premier Outlets (GPO) juga menjadi tumpuan ramai dengan jenama seperti Calvin Klein, Levi’s, Nike, Coach dan Skechers yang ditawarkan pada harga diskaun sepanjang tahun.

Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan cenderamata tempatan, Pasar Malam Chamorro serta kedai kraftangan di Agana dan Dededo menawarkan pelbagai produk buatan tangan, makanan tradisional serta aksesori tempatan pada harga berpatutan.

Faktor bebas cukai turut menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelancong serantau, termasuk dari negara-negara Asia Tenggara.

Kemudahan visa dan akses mudah

Rakyat Malaysia boleh memasuki Guam tanpa visa menerusi program Visa Waiver Program (VWP) Amerika Syarikat, dengan hanya mendaftar melalui sistem Electronic System for Travel Authorization (ESTA) sebelum berlepas.

Selain itu, penggunaan dolar Amerika (USD) sebagai mata wang rasmi di pulau tersebut turut memudahkan pelancong dalam urusan perbelanjaan serta membuat perbandingan harga.

Kemudahan sewaan kereta turut tersedia bagi pelancong yang ingin menjelajah ke kawasan luar bandar termasuk kampung tradisional Chamorro serta pantai-pantai terpencil.

Dengan gabungan tarikan alam semula jadi, sejarah, budaya serta kelebihan sebagai pulau bebas cukai, Guam dilihat mempunyai potensi besar sebagai destinasi percutian luar negara pilihan rakyat Malaysia yang mahukan kelainan .

Syurga penyelam skuba

Guam
Pengunjung digalakkan untuk tidak berkunjung pada musim tengkujuh sekiranya mahu melakukan aktiviti air. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Guam juga cukup terkenal dalam kalangan penyelam skuba berikutan keindahan terumbu karangnya serta bangkai kapal era perang yang boleh diterokai di dasar laut. Antara lokasi yang sering menjadi pilihan ialah Blue Hole dan Gab Gab Beach.

Puntan Dos Amantes: Kisah cinta tragis

Guam
Mercu tanda Two Lovers Point, Guam. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Two Lovers Point atau Puntan Dos Amantes pula merupakan lokasi romantik yang menawarkan pemandangan dari tebing curam setinggi 122 meter dengan panorama Lautan Pasifik yang memukau.

Guam
Pemandangan di atas menara peninjau yang disediakan di kawasan Two Lovers Point. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Lokasi ini bukan sahaja terkenal kerana keindahannya, tetapi juga kerana kisah cinta tragis yang disifatkan sebagai versi Pasifik kepada kisah Romeo dan Juliet.

Valley of the Latte pamer budaya dan alam semula jadi

Guam
Pelancong menyusuri sungai menaiki bot sambil menikmati pemandangan hutan tropika. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Satu lagi tarikan istimewa yang tidak harus dilepaskan ialah Valley of the Latte Adventure Park, destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya yang terletak di sepanjang Sungai Talofofo dan Sungai Ugum.

Pelawat berpeluang menyusuri sungai menaiki bot sambil menikmati pemandangan hutan tropika yang menghijau serta berinteraksi dengan komuniti tempatan Chamorro.

Di sini juga terdapat tapak arkeologi serta demonstrasi budaya seperti anyaman, tarian tradisional dan cara hidup masyarakat asli pulau tersebut.

Valley of the Latte menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin menyelami sejarah dan budaya tempatan dalam suasana santai dan mesra keluarga.

Karera SandCastle tarikan pelancongan budaya di Guam

Guam
Persembahan kebudayaan yang mengagumkan menerusi “Karera” di SandCastle. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Pelancong kini berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan yang mengagumkan menerusi “Karera” di SandCastle, yang menggabungkan gabungan seni tarian api, akrobat udara, muzik secara langsung serta teknologi visual terkini.

Lebih daripada 50 orang penghibur dari pelbagai negara mengambil bahagian dalam persembahan ini yang menampilkan budaya tempatan secara kreatif dan moden.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button