Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Glomac Berhad catat keuntungan RM21.4 juta suku ketiga TK2025

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah terkemuka, Glomac Berhad (Glomac) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM21.4 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (TK2025).

Menerusi satu kenyataan, Glomac memaklumkan mereka berjaya merekodkan pendapatan tidak diaudit sebanyak RM33.7 juta dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM3.3 juta bagi tempoh tersebut.

“Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan yang berakhir pada 30 April 2025, Glomac meraih pendapatan sebanyak RM163.4 juta, dipacu oleh aktiviti pembinaan yang berterusan.

Serai@SBCR merupakan salah satu projek perumahan teres dua tingkat di bawah kendalian Glomac Berhad yang mencatat jualan memberangsangkan pada 2024.

“Ini termasuklah projek Saujana Perdana dan dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi, iaitu 121 Residences serta Plaza@Kelana Jaya.

“Keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 65 peratus kepada RM21.4 juta berbanding RM13.0 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini didorong oleh margin keuntungan yang lebih tinggi hasil daripada campuran produk yang strategik, keuntungan daripada pelupusan hartanah pelaburan serta pengurangan kos kewangan,” menurut kenyataan tersebut.

Dari segi kedudukan kewangan, Glomac terus mengekalkan kestabilan dengan nisbah hutang bersih tidak ketara sebanyak 0.03 dan ekuiti pemegang saham bernilai RM1,198.5 juta.

Setakat Januari 2025, wang tunai dan deposit kekal kukuh pada RM248 juta, memastikan kecairan yang mencukupi bagi menyokong inisiatif pembangunan syarikat.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam tempoh semakan, Glomac berjaya melancarkan fasa baharu pejabat kedai di Saujana Perdana dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM125 juta.

“Projek ini mendapat sambutan memberangsangkan dengan hampir 60 peratus unit telah terjual setakat akhir Januari 2025.

“Fasa awalnya yang terdiri daripada 81 pejabat kedai dengan GDV gabungan RM71 juta telah terjual sepenuhnya pada awal tahun 2024,” jelasnya.

Selain itu, Glomac turut melancarkan fasa pertama rumah teres dua tingkat di Serai@SBCR pada Ogos 2024. Projek ini mencatat pencapaian jualan hampir penuh dalam tempoh hanya tiga bulan, menandakan permintaan tinggi terhadap pembangunan berkualiti yang ditawarkan oleh syarikat.

Melangkah ke hadapan, Glomac merancang untuk melancarkan beberapa fasa pembangunan kediaman baharu di perbandaran yang telah sedia ada termasuk Lakeside Residences, Saujana KLIA dan Saujana Jaya di Kulai, Johor dengan anggaran GDV kolektif sebanyak RM298 juta.

“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh serta nisbah hutang bersih yang stabil, Glomac terus memacu pertumbuhan melalui inisiatif strategik.

“Syarikat juga telah mengukuhkan struktur modalnya melalui Program Sukuk Wakalah, yang menyediakan kapasiti pembiayaan sehingga RM3 bilion.

“Dengan simpanan tanah yang terletak di lokasi strategik dan anggaran GDV melebihi RM7 bilion, Glomac berada dalam kedudukan yang baik untuk terus berkembang dan merebut peluang pertumbuhan dalam sektor hartanah,” jelas kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button