
Gempa bumi kuat gegar sempadan Turkiye-Greece, tiada kerosakan besar dilaporkan
KUALA LUMPUR – Satu gempa bumi kuat berukuran 5.8 magnitud menggegarkan kawasan berhampiran Kepulauan Dodecanese di sempadan Turkiye-Greece, pada pukul 7.17 pagi waktu tempatan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di wilayah selatan Greece, barat Turkiye dan kawasan pesisir Laut Aegean.
Menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC), gempa tersebut berlaku pada pukul 2.17 pagi waktu Malaysia dan berpusat kira-kira 12 batu dari pulau Rhodes pada kedalaman 42 batu.
Setakat ini, pihak berkuasa kedua-dua negara masih menilai situasi semasa namun tiada laporan kecederaan serius atau kerosakan besar diterima.
Pasukan kecemasan kini berada dalam keadaan bersiap siaga manakala pakar seismologi memberi amaran kemungkinan berlaku gempa susulan dalam tempoh beberapa jam akan datang.
Pihak berkuasa di Turkiye dan Greece dilaporkan memantau keadaan secara berterusan dengan perkembangan lanjut dijangka dimaklumkan dari semasa ke semasa, memetik laporan Express.
Dalam pada itu, Greece dilaporkan mengalami beberapa siri gempa bumi sejak kebelakangan ini sejajar dengan kedudukan negara itu di zon gempa bumi aktif.
Menguatkan lagi keresahan di rantau tersebut, Gunung Berapi Etna di Itali turut meletus pada Isnin, menambah ketidaktentuan terhadap keadaan geologi di kawasan Mediterranean ketika ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |