Gempa bumi gegar Ecuador, 20 cedera
QUITO — Gempa bumi bermagnitud 6.3 melanda pesisir pantai Ecuador pada Jumaat, mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 orang cedera.
Menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC), gempa berlaku pada kedalaman 23 kilometer, tanpa amaran tsunami dikeluarkan pihak berkuasa.
Kerajaan Ecuador dalam satu kenyataan memaklumkan 20 individu mengalami kecederaan, manakala kira-kira 135 keluarga terjejas.
Media antarabangsa melaporkan runtuhan dinding dan keretakan besar pada beberapa bangunan di bandar Esmeraldas, dengan sebahagian struktur jatuh ke jalan raya.
Pihak berkuasa turut melaporkan kerosakan membabitkan empat pusat kesihatan, 18 buah sekolah, dua jalan raya utama serta sebuah jambatan.
Sebahagian bangunan ketenteraan turut mengalami keruntuhan.
Presiden Ecuador, Daniel Noboa, menerusi platform media sosial X berkata, kerajaan akan menubuhkan pusat perlindungan dan menyalurkan kit bantuan kemanusiaan kepada mangsa.
“Kami akan membantu memenuhi segala keperluan rakyat,” katanya.
Dalam sektor tenaga, operasi saluran paip utama negara, Sistem Paip Trans-Ecuadorian (SOTE) dan Konsortium Saluran Paip Berat (OCP) dihentikan sementara sebagai langkah berjaga-jaga sebelum disambung semula.
Syarikat minyak nasional, Petroecuador, mengesahkan eksport mereka tidak terjejas. Walau bagaimanapun, operasi Loji Penapis Esmeraldas, yang mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 110,000 tong sehari, dihentikan sementara bagi pemeriksaan lanjut.
Institut Geofizik Ecuador melaporkan satu lagi gegaran susulan bermagnitud 4.1 berlaku di wilayah Guayas beberapa minit selepas gempa utama.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berpusat di luar pesisir pada kedalaman kira-kira 35 kilometer sekitar pukul 7 pagi waktu tempatan (1200 GMT).
“Pergerakan plat pada kelajuan 5.6 sentimeter setahun menjadi faktor utama kejadian gempa bumi di negara ini,” kata Institut Geofizik dalam satu kenyataan.
Sebanyak 10 daripada 24 wilayah di Ecuador terjejas susulan gegaran tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






