
Gempa 6.1 skala Richter gegar Peru, amaran tsunami dikeluarkan
LIMA – Satu gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter menggegarkan wilayah Arequipa di selatan Peru pagi semalam (waktu tempatan), sekali gus mencetuskan amaran tsunami awal di kawasan pesisir Pasifik negara itu.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan Peru (IGP), gegaran berlaku pada pukul 10.32 pagi dengan pusat gempa dikesan pada kedudukan 44 kilometer barat laut Camana, pada kedalaman 35 kilometer.
Wilayah Camana yang terkenal sebagai kawasan pesisir dan pusat industri perikanan utama negara itu merupakan antara kawasan yang paling terkesan.
Bandar tersebut mempunyai populasi lebih 20,000 orang.
Agensi Bencana Peru (COEN) telah mengaktifkan protokol kecemasan serta mengarahkan pasukan penyelamat ke lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Beberapa stesen pemantauan tsunami juga diarahkan meningkatkan kawalan serta operasi pengawasan gelombang laut.
Dalam kenyataan kepada media, Pengarah IGP, Dr. Hernando Tavera memaklumkan gegaran dirasai dengan intensiti antara tahap IV hingga V pada skala Mercalli di kawasan Camana.
“Tiada kerosakan besar dilaporkan setakat ini. Namun sistem amaran awal masih diaktifkan kerana kedalaman hiposentrum berpotensi menyebabkan aktiviti tektonik susulan,” katanya lagi.
Setakat pukul 2.00 petang waktu tempatan, amaran tsunami masih belum ditarik balik, walaupun tiada gelombang besar dikesan. Lapangan Terbang Antarabangsa Rodriguez Ballon di Arequipa dilaporkan beroperasi seperti biasa, manakala tiada laporan kecederaan atau kerosakan infrastruktur utama diterima.
Peru merupakan negara yang sering mengalami gempa bumi kerana terletak dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif seismik dunia.
Negara itu pernah merekodkan gempa bumi berukuran 8.0 skala Richter pada tahun 2001 yang mengorbankan lebih 140 nyawa.
Pihak berkuasa kini terus memantau situasi dan memberi amaran kepada penduduk agar kekal berwaspada serta mengikuti perkembangan rasmi daripada agensi berkaitan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |