BERITA SEMASA

Letupan kuat gegar Ipoh, punca masih disiasat

IPOH – Polis Perak sedang menjalankan siasatan berhubung insiden gegaran dan bunyi letupan kuat yang mengejutkan penduduk di sekitar bandar raya ini pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 11.00 pagi dan segera melakukan semakan dengan beberapa agensi berkaitan.

“Hasil semakan dengan Briged Utara Pasukan Gerakan Am di Ulu Kinta mendapati tiada sebarang latihan melibatkan penggunaan bahan letupan dijalankan pagi ini.

“Pejabat Tanah dan Galian Perak juga mengesahkan tiada aktiviti kuari dijalankan sebelum tengah hari.
“Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan tiada sebarang kesan gempa bumi dikesan di kawasan Ipoh ketika kejadian, walaupun terdapat gempa direkodkan di Halmahera, Indonesia pada pukul 11.20 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azizi, pihaknya memandang serius laporan kejadian tersebut dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar gegaran yang dirasai.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Kontinjen Perak menerusi talian 05-2451119 atau 05-2451073,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button