Gangguan telekomunikasi di Kuala Merotai pulih, menara JENDELA kini stabil
TAWAU — Masalah gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Kuala Merotai, di sini berjaya dipulihkan selepas aduan penduduk berhubung liputan lemah di kawasan berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan mendapati gangguan berpunca daripada masalah bekalan elektrik yang menjejaskan pengoperasian menara JENDELA di kampung berkenaan.
“Alhamdulillah, aduan tersebut telah berjaya diselesaikan oleh penyedia perkhidmatan dan liputan kembali stabil.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat serta penduduk yang menyalurkan maklumat, sekali gus membantu mempercepatkan tindakan pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Beliau menegaskan, bagi mengelak gangguan sama berulang, penyedia perkhidmatan telah diarahkan menyediakan kuasa sokongan seperti penjana elektrik mudah alih (genset) serta menambah kapasiti bateri sehingga mampu membekalkan kuasa selama lapan jam.
Menara JENDELA di Kuala Merotai mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan teknologi 4-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta dikendalikan syarikat Redtone.
Menurut Fahmi, hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS menunjukkan menara itu mampu menawarkan kelajuan sehingga 50Mbps bagi perkhidmatan 4G, memberi manfaat kepada lebih 1,200 penduduk setempat.
“Ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat, termasuk di kawasan pedalaman, menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti,” tambah Fahmi.
Semalam, Fahmi mengumumkan capaian komunikasi sehingga 300 Mbps di Kampung Sepagaya, Lahad Datu dalam tinjauan operasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.
Inisiatif itu memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,800 penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








