
Gagal potong di garisan berkembar, pemandu maut bertembung treler
PORT DICKSON – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler yang membawa lebih 900 tong gas dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 13, Jalan Lukut-Sepang, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa berusia 51 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa gagal memotong di garisan berkembar.
Kemalangan melibatkan Proton Wira, treler dan sebuah kereta jenis Proton Saga menyebabkan trafik sesak tiga jam berikutan tong gas yang dibawa treler terjatuh berselerakan di atas jalan raya.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira cuba memotong sebuah kenderaan lain di garisan berkembar.
“Namun, mangsa dipercayai tidak sempat memotong dan bertembung dengan treler dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Maslan berkata, treler yang cuba mengelak ke bahu jalan tidak dapat menghindari perlanggaran menyebabkan ia terbalik dan muatan tong gas jatuh ke atas jalan raya, termasuk mengenai sebuah Proton Saga.
Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandu treler, lelaki berusia 44 tahun, cedera ringan di kepala dan siku kiri.
Pemandu Proton Saga, berusia 35 tahun, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat yang dijadualkan pada pukul 10 pagi hari ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |