
Gagal ke suku akhir ACLE, TMJ sedia berbelanja perkuat JDT
KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkap Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meluahkan rasa bangga terhadap pasukannya biarpun gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25.
Berkongsi pandangannya selepas JDT menamatkan ACLE di pusingan 16, Tunku Ismail menyifatkan ia sebagai satu penghormatan dan keistimewaan bagi kelabnya untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia.
“Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi, namun kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan,” titahnya.
Skuad Harimau Selatan sekadar menyamai rekod yang dilakar pada saingan ACLE dua tahun lalu selepas tewas tipis 1-0 di tangan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada malam semalam.
Dalam pada itu, Tunku Ismail menegaskan bahawa baginda mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keputusan tersebut dan bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia.
Baginda turut menzahirkan komitmennya untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.
“Kami telah mengenalpasti beberapa kelemahan di dalam pasukan dan sudahpun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas. Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan,” titahnya.
Sementara itu, Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT atas sokongan luar biasa di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ia sekali lagi mencatat kehadiran tertinggi di laman sendiri. Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya di pusingan seterusnya,” titahnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |