
Francois Bayrou dilantik PM baharu Perancis
PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, melantik Francois Bayrou sebagai Perdana Menteri baharu dalam usaha memulihkan kestabilan politik negara itu selepas undi tidak percaya yang menggulingkan bekas perdana menteri, Michel Barnier minggu lalu.
Media antarabangsa melaporkan, pelantikan itu diumumkan semalam di tengah-tengah tekanan terhadap Macron yang semakin hilang pengaruh akibat perpecahan dalam Parlimen.
Bayrou, 73, merupakan pengasas parti berhaluan tengah Democratic Movement (MoDem) dan Datuk Bandar Pau, sebuah bandar di barat daya Perancis.
Pelantikan beliau dilihat sebagai percubaan Macron untuk mengimbangi tekanan politik dalam Parlimen yang kini tergantung, dengan blok sayap kiri dan kanan menentang dasar-dasar pemerintah.
Cabaran utama Bayrou adalah membentuk kabinet baharu serta meluluskan belanjawan yang mendapat tentangan sengit daripada pelbagai pihak.
Pelantikan itu juga mencerminkan usaha Macron untuk mengekalkan cengkamannya terhadap kuasa pemerintahan menjelang pilihan raya Parlimen yang dijangka tidak akan diadakan sehingga Julai 2025.
Bagaimanapun, pemerhati politik melihat krisis itu sebagai ancaman serius kepada kesinambungan penggal kedua Macron, yang dijadual berakhir pada 2027.
Keputusan Bayrou dalam beberapa bulan akan datang bakal menentukan sama ada kerajaan baharu ini mampu bertahan atau berdepan risiko kejatuhan sekali lagi.
Bayrou, yang pernah bertanding untuk jawatan presiden sebanyak tiga kali sebelum menyokong Emmanuel Macron pada 2017, menghadapi cabaran besar untuk mengatasi perpecahan dalam Parlimen dan meluluskan belanjawan negara.
Pelantikan Bayrou berlaku selepas kejatuhan kerajaan Michel Barnier, yang tumbang akibat kegagalan meluluskan belanjawan 2025 yang mencadangkan kenaikan cukai sebanyak 60 bilion euro.
Langkah kontroversi Barnier menyebabkan blok kiri dan kanan bersatu untuk menjatuhkannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |