
Forum antarabangsa anjuran CityU himpun tokoh Malaysia–Perancis kupas isu keusahawanan
CYBERJAYA – Usaha memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan belia diperkukuh apabila City University Malaysia (CityU) menganjurkan sesi forum antarabangsa yang menarik lebih 450 peserta ke kampus baharunya di Cyberjaya.
Dalam satu kenyataan, CityU berkata, sesi forum bertemakan “Membina Startup Mampan dalam Ekonomi Sedang Membangun” itu menghimpunkan tokoh dari Perancis dan Malaysia bagi membincangkan peranan pendidikan, kerajaan dan undang-undang dalam membangunkan ekosistem keusahawanan.
“Sesi panel ini merupakan sebahagian daripada Siri Penceramah Terkemuka anjuran City University Malaysia, sebuah platform yang membolehkan pelajar berinteraksi secara langsung dengan pemimpin industri bagi memperkukuh pemahaman terhadap peluang dalam dunia sebenar,” katanya.
Baca juga : City University Malaysia lakar sejarah lahirkan 123 Doktor Falsafah (PhD)
Antara tokoh yang hadir dalam acara berkenaan ialah Canselor IUT Nice Côte d’Azur, Profesor Boualem Aliouat, dari Perancis, yang turut memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi Majlis Afrika untuk Keusahawanan dan Inovasi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Profesor Adjung Rizal Datuk Nainy serta Presiden Union des Français de l’Etranger di Malaysia, Pierre Brochet.
Turut memeriahkan majlis ialah tetamu kenamaan termasuk Presiden Chamber of Commerce and Industry France Malaysia, Richard Fostier, serta wakil daripada beberapa kedutaan asing.
Kehadiran pegawai kanan SME Corp Malaysia dan wakil daripada Institute of Public Accountants (IPA Malaysia) serta Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) turut menyerikan forum tersebut.

Ketika ditanya bagaimana seseorang boleh membina perniagaan tanpa modal, jaringan atau rakan kongsi, para panelis tampil dengan pandangan yang berbeza, namun saling melengkapi
Menurut Prof. Adjung Rizal, pelan perniagaan yang mantap amat penting, khususnya bagi usahawan muda kerana pelam yang kukuh mampu menarik minat ramai pelabur.
“Usahawan berjaya perlu mempunyai semangat tinggi, berani mengambil risiko dan menyokong idea mereka dengan data yang tepat. Itulah faktor penentu kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Pierre Brochet pula menegaskan kepentingan penglibatan masyarakat dan kerajaan sebelum memulakan perniagaan.
“Walaupun anda mempunyai idea bernas dan modal mencukupi, startup disruptif harus mengambil kira impaknya kepada masyarakat. Libatkan komuniti dan pihak berkuasa dari awal lagi,” katanya.
Selain itu, Profesor Boualem Aliouat memberi penekanan kepada elemen menjaga kebajikan pasukan mempunyai keyakinan diri sebagai usahawan.
“Wang bukanlah segalanya. Apa yang penting ialah membina pasukan yang mantap dan menjaga kebajikan mereka. Jika anda yakin boleh berjaya, anda akan berjaya,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor CityU, Profesor Dr Rosnizah Shaari, mengetuai delegasi universiti bersama ahli fakulti dan pelajar, menzahirkan komitmen institusi itu dalam menyokong pendidikan yang berpaksikan realiti industri.
Tinjauan selepas program menunjukkan sambutan positif, dengan 63 peratus pelajar berminat menceburi perniagaan selepas tamat pengajian, dan 75 peratus berhasrat menyertai pertandingan startup anjuran universiti.
City University Malaysia kini berada di kedudukan ke-6 universiti swasta terbaik di ASEAN menurut penarafan AppliedHE™️.
Fakulti Perniagaan dan Pengurusan City University Malaysia menawarkan program menyeluruh dari peringkat asas hingga ke peringkat PhD, merangkumi bidang kewangan, perakaunan, pengurusan perniagaan dan pemasaran.
Kesemua program ini diiktiraf sepenuhnya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), manakala beberapa program perakaunan dan pengurusan turut menerima pengiktirafan badan profesional seperti ACCA dan IPA.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |