
‘Fokus bangunkan negara, bukan tumpu isu remeh’ – PM Anwar
PUTRAJAYA – Pemimpin-pemimpin di negara ini dinasihatkan agar memberi tumpuan dalam membangunkan negara, bukannya fokus mengenai isu-isu kecil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, terdapat segelintir pihak yang masih memperbesarkan isu-isu remeh, sedangkan negara-negara lain sedang berlumba-lumba mengejar kemajuan teknologi.
“Negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kini berusaha mengangkat keupayaan teknologi, kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan tenaga boleh baharu, serta boleh bergantung kepada tenaga lama.
“Kita riuh-rendah dalam hal remeh temeh dan bergaduh. Kalau kita dengar kadang-kadang sebahagian, bukan semua, sebahagian ceramah, tazkirah itu, kutuk dan hukum orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa di sini, hari ini.
Dalam ucapan sama, Perdana Menteri berkata, pemimpin dan syarikat luar melihat Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik selepas pandemik Covid-19.
“Saya percaya kita ada keupayaan. Malaysia ini luar biasa. Mana ada negara di dunia yang masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan damai.
“Ada negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian datang Covid-19. Tetapi kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, (menerima) pelaburan yang tinggi, menjadi (destinasi) pusat data dan hab semikonduktor,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, keupayaan negara untuk menarik pelabur asing bergantung kepada usaha bersama rakyat dalam memajukan dan memartabatkan nama negara.
“Pelaburan masuk ke dalam negara kerana mereka melihat keupayaan Malaysia, keupayaan seluruh rakyat,” katanya sambil menambah lebih ramai pemimpin luar termasuk Presiden China dan Afrika Selatan akan mengadakan lawatan selepas ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |