FOI 2025 cipta rekod MBOR, bukti Malaysia bangkit dengan idea baharu
PUTRAJAYA – Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara inovasi dengan sesi wacana intelektual terbanyak dalam satu program idea dan inovasi di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pengiktirafan itu membuktikan bahawa Malaysia kini sedang bangkit dengan semangat ilmu dan kreativiti selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, festival yang berlangsung selama empat hari itu bukan sekadar program konvensyen, sebaliknya telah menjadi satu gerakan nasional yang mengangkat idea rakyat sebagai teras kemajuan negara.

“Malaysia sedang berfikir, sedang berubah dan sedang bangkit dengan idea dan pemikiran berteraskan Malaysia Madani,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan FOI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Menurut Zambry, sepanjang penganjuran festival itu, lebih 300,000 pengunjung hadir menyertai pelbagai aktiviti yang merangkumi lebih 120 program, termasuk forum dasar, wacana ilmiah, bengkel masyarakat, pameran universiti, pertandingan robotik dan persembahan seni.
“FOI 2025 turut menampilkan lebih 200 pavilion dan ruang pameran dengan penyertaan lebih 2,000 pempamer serta menyaksikan lebih 100 pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) serta pelancaran produk bernilai melebihi RM160 juta,” katanya lagi.
Festival itu turut mendapat penyertaan daripada lebih 12 kementerian, pavilion negara ASEAN serta enam negara luar yang bersama-sama berkongsi idea, inovasi dan pengalaman dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan masyarakat.
Zambry turut mengumumkan kejayaan inisiatif baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dikenali sebagai ‘Idea Vault’, yang menghimpunkan idea rakyat dari seluruh negara sebagai asas kepada pembangunan masa depan negara.
“Kita berjaya mengumpul hampir 10,000 idea yang dianalisis menggunakan kecerdasan buatan. Daripada jumlah itu, 500 disenarai pendek, 100 finalis mempersembahkan visi mereka dan 15 pemenang utama telah diumumkan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pendekatan tersebut membuktikan bahawa semangat inovasi dan kreativiti rakyat Malaysia semakin menyerlah serta seiring dengan aspirasi kerajaan Madani yang menekankan nilai ilmu dan kemajuan.
Dalam ucapannya, Zambry turut merakam penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Zarith Sofiah yang berkenan merasmikan festival berkenaan serta mencemar duli melawat pameran universiti dan kementerian.
Selain itu, FOI 2025 turut mendapat kehadiran tokoh-tokoh terkemuka dalam dan luar negara termasuk dua Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, serta Menteri Pendidikan Tinggi Indonesia, Prof Dr Brian Wuliantoro yang turut menyampaikan ucapan pada sesi forum antarabangsa.
Dalam majlis sama, Zambry turut menyentuh tentang pembentangan buku baharu Perdana Menteri bertajuk “Rethinking Our Self” yang menjadi bahan wacana utama festival dan dibahaskan oleh Profesor Osman Bakar, Profesor Zia dan Scott.
“Kebanyakan pemimpin menulis selepas bersara, tetapi Perdana Menteri menulis ketika masih mentadbir. Ini menunjukkan beliau berfikir untuk masa depan negara dan masyarakat,” katanya lagi.
Zambry turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen tinggi terhadap pembangunan pendidikan tinggi dan sokongan padu terhadap penganjuran FOI 2025.
“Ini bukan sekadar festival, tetapi agenda nasional untuk menyemai kecintaan kepada ilmu dan memperkukuh budaya berfikir.
“Kehadiran Perdana Menteri membuktikan komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi,” katanya lagi.
Festival Idea Putrajaya 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi platform utama menghubungkan dunia akademik, industri dan masyarakat ke arah Malaysia yang progresif serta berteraskan pemikiran kreatif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






