
Fitnah terhadap MCMC: Laporan polis dibuat ke atas Murray Hunter
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC) membuat laporan polis terhadap penulis blog, Murray Hunter yang menuduh MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi berlandaskan politik dalam pentadbiran kerajaan sekarang.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, pihaknya menolak sekeras-kerasnya tohmahan oleh penulis blog ini yang tidak berasas.
“Sebagai sebuah badan berkanun, MCMC melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), dan kesemua undang-undang subsidiari yang terkandung di dalamnya.
“Segala tindakan penguatkuasaan yang diambil MCMC adalah mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa MCMC sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu menurut MCMC, penulisan Murray Hunter dilihat berunsur fitnah apabila beliau secara terbuka telah menuduh MCMC bertindak melangkaui bidang kuasanya untuk kepentingan diri.
Pada masa sama katanya, penulis itu turut melemparkan tohmahan bahawa MCMC dan PDRM bertindak menakut-nakutkan masyarakat.
“Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.
“Selain itu, tindakan memuat naik kandungan yang memfitnah dan menghina MCMC juga merupakan satu kesalahan.
“Sekiranya Murray Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap MCMC, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi.
“MCMC telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya ke atas Murray Hunter dan lain-lain pihak berkaitan,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |