FINAS sambut baik RMK13, komited perkasa ekonomi jingga dan kandungan kreatif negara
HULU KELANG – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan penekanan terhadap pembangunan ekonomi jingga dan industri kreatif sebagai antara pemacu utama pertumbuhan negara.
FINAS dalam satu kenyataan menyifatkan pembentangan RMK13 sebagai kerangka nasional baharu yang mampu memperkukuh struktur ekonomi negara, termasuk sektor kreatif tempatan yang kian berkembang.
Salah satu daripadanya adalah penekanan terhadap ekonomi jingga atau ekonomi kreatif yang dilihat sebagai isyarat jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam mentransformasi industri itu agar lebih mampan, berdaya saing dan berupaya menembusi pasaran global.
“Penekanan terhadap ekonomi jingga sebagai salah satu pemacu pertumbuhan masa depan memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mentransformasi industri kreatif tempatan agar lebih mampan dan kompetitif di peringkat global,” kata FINAS.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, FINAS turut menyokong kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menegaskan bahawa RMK13 merupakan peluang strategik untuk membina ekosistem industri kreatif yang lebih mapan melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi.
Sehubungan itu, beberapa inisiatif utama akan dilaksanakan termasuk memperkukuh penghasilan kandungan bernilai komersial tinggi yang berpotensi dieksport ke pasaran antarabangsa.
Inisiatif lain termasuk menyokong pembangunan harta intelek (IP) tempatan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI); serta memperluas pembangunan bakat kreatif melalui program pensijilan dan pentauliahan yang selari dengan kehendak industri dan teknologi semasa.
FINAS juga memfokuskan pembangunan sektor animasi yang semakin menunjukkan potensi besar di peringkat antarabangsa.
Antara langkah yang digerakkan termasuk pemberian geran kepada projek animasi menerusi DKK, galakan pelaburan dalam kandungan tempatan dan antarabangsa melalui FIMI, selain pemerkasaan proses pelesenan bagi tayangan filem animasi di pawagam dan televisyen.
Usaha tersebut katanya turut disokong oleh program latihan dan pentauliahan bakat tempatan secara lebih sistematik bagi memastikan penggiat industri dapat bersaing di peringkat global dengan standard pengeluaran yang lebih tinggi.
Melalui pelaksanaan menyeluruh yang melibatkan semua segmen industri, FINAS yakin RMK13 akan menjadi pemacu utama dalam memperkukuh peranan ekonomi jingga sebagai penyumbang signifikan kepada pembangunan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








