BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Festival of Idea Putrajaya 2025: Platform inovasi dan kolaborasi antara universiti

PUTRAJAYA – Festival of Idea (FOI) Putrajaya 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 4 hingga 8 November menjadi medan perkongsian ilmu, inovasi dan jaringan antara pelajar, pensyarah serta institusi pendidikan dalam dan luar negara.

Penolong Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Farahana Ahmad berkata, beliau teruja dengan penganjuran FOI yang menampilkan pelbagai hasil inovasi daripada kolej komuniti dan institusi TVET.

Penolong Pendaftar UTM, Farahana Ahmad. – Foto Hafiz Aiman Mohd Shariff/Malaysia Tribune

“Ini kali pertama saya hadir ke FOI. Inovasi yang dihasilkan oleh pelajar amat mengagumkan walaupun nampak kecil, namun usaha dan nilai pembelajaran di sebaliknya sangat besar,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau turut menyifatkan setiap reruai mempunyai keistimewaan tersendiri dan membuka ruang untuk pelajar meneroka bidang baharu.

“Saya kagum dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas penganjuran FOI yang mengumpulkan pelbagai inovator dan sesi perkongsian ilmu.

“Ia platform terbaik untuk anak muda melihat potensi diri dan menceburi bidang inovasi,” katanya lagi.

Sementara itu, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhamad Arrif Muhamad Azly Adzamin berkata, FOI memberi peluang kepada mahasiswa membina lebih banyak hubungan dan pendedahan kerjaya.

Pelajar UPNM, Muhamad Ariff Muhamad Azly Adzamin. – Foto Hafiz Aiman Mohd Shariff/Malaysia Tribune

“Saya dapat berkenalan dengan pelajar universiti lain serta mengetahui dengan lebih jelas tentang bidang yang saya ceburi dalam latihan industri,” katanya yang mengikuti pengajian di Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan.

Menurutnya, penganjuran seperti itu penting untuk menarik minat mahasiswa menceburi bidang inovasi serta melahirkan anak watan yang celik teknologi.

Turut memeriahkan festival ialah Universiti Tsukuba dari Jepun yang baru melancarkan kampus antarabangsa di Malaysia pada tahun lalu.

Wakilnya, Dr. Maki Tsujimura menyifatkan FOI sebagai satu acara komprehensif yang berjaya mempertemukan pelajar dari pelbagai negara dan latar belakang akademik.

FOI - Prof Dr Maki Tsujimura
Dekan School of Transdiciplinary Science and Design, University of Tsukuba Malaysia (UTMy), Prof Dr Maki Tsujimura. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

“Festival ini bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform untuk membina kefahaman rentas budaya dan memperkukuh hubungan akademik antara institusi tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Dr. Maki, penyertaan Universiti Tsukuba menonjolkan pendekatan pendidikan Jepun yang berteraskan penyelesaian masalah global (global issue solving) dengan memberi penekanan kepada sains data, sains sosial dan kejuruteraan serta kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (Problem-Based Learning – PBL).

“Misi utama kami adalah untuk mendidik pelajar agar mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menyumbang kepada penyelesaian isu sejagat.

“Kami mahu melahirkan pelajar yang bukan hanya berpengetahuan dalam teori, tetapi juga mampu mengaplikasikan ilmu dalam konteks dunia sebenar,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kampus Tsukuba di Malaysia kini menerima sekitar 40 pelajar setiap tahun termasuk 14 pelajar dari kampus utama Jepun.

“Pelajar kami datang dari pelbagai negara dan latar belakang, belajar dalam bahasa Inggeris dan selepas empat tahun mereka diharap mampu berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa iaitu Jepun dan Inggeris.

“Ini melatih mereka untuk berfikir secara global dan berinteraksi dalam pelbagai budaya,” katanya.

Forum dan dialog peringkat antarabangsa yang diadakan pada hari pertama Festival of Idea Putrajaya 2025.

Tambah beliau, FOI juga membuka peluang kerjasama antara universiti Jepun dan Malaysia dalam bidang teknologi, penyelidikan serta pembangunan pelajar.

“Saya amat menghargai peranan Education Malaysia Global Services (EMGS) yang menyokong penyertaan universiti antarabangsa seperti kami.

“Acara seperti FOI memberi ruang untuk membina jaringan dan memperkukuh hubungan dua hala dalam dunia pendidikan tinggi,” ujarnya.

Beliau berharap penganjuran seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun sebagai jambatan kolaborasi pendidikan antara negara, seterusnya menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan tempatan untuk menyertai program akademik global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button