
Festival Idea Putrajaya cetus idea inovasi negara
PUTRAJAYA – Penganjuran julung kali Festival Idea Putrajaya anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini disifatkan sebagai langkah bersejarah yang mampu mencetuskan transformasi inovasi negara.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai program menarik yang menghimpunkan idea-idea bernas dari seluruh lapisan masyarakat dan peringkat.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, program itu merupakan platform unik kerana ia dilaksana dengan melibatkan pihak kementerian, agensi kerajaan dan swasta.
“Festival ini bukan sahaja membincangkan idea tetapi turut mengetengahkan kisah-kisah kejayaan rakyat Malaysia seperti pengasas AirAsia, CIMB dan Aerodyne.
“Kisah mereka membuktikan bagaimana idea kreatif mampu membawa impak besar sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan festival tersebut di sini, hari ini.
Zambry turut berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik inisiatif itu dan bercadang menjadikannya acara tahunan.
“Salah satu inisiatif utama dalam festival ini ialah mewujudkan ‘Bank Idea’ iaitu platform untuk rakyat menyumbangkan idea tanpa mengira latar belakang.
“Kita percaya idea tidak semestinya datang dari menara gading semata-mata. Rakyat biasa juga mempunyai pandangan bernas terhadap isu yang dihadapi dan mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah negara,” katanya lagi.
Menurut Zambry, sepanjang festival itu ruang khusus disediakan untuk orang ramai menulis dan menyerahkan cadangan mereka.
Katanya, idea yang diterima akan dinilai dan disalurkan kepada pihak berkaitan, termasuk kerajaan untuk dilaksanakan jika sesuai.
“Bank Idea buat masa ini hanya dilaksanakan semasa festival. Namun, kita akan menilai mekanisme untuk memperluaskannya melalui platform digital agar rakyat dapat terus menyumbang pandangan mereka,” katanya lagi.
Selain ruang untuk menyumbang idea, Festival Idea Putrajaya turut menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan untuk pengunjung yang hadir.
Pelbagai forum dan diskusi juga dianjurkan untuk berkongsi pengalaman kejayaan dan memupuk semangat inovasi, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu rakyat terutama mahasiswa memahami proses mencipta idea membangunkannya dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan untuk kejayaan individu dan negara,” jelas Zambry.
Beliau berkata, semua cadangan dan input yang diperoleh melalui festival itu akan dirangkum untuk tindakan susulan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






