BERITA SEMASA

Felcra catat RM192.5 juta keuntungan boleh agih akhir tahun 2024 – TPM Zahid

HULU TERENGGANU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 Projek Peserta Felcra Berhad (Felcra) berjumlah RM192.5 juta.

Ahmad Zahid berkata, agihan keuntungan itu akan dibayar secara berperingkat bermula hari ini dan memanfaatkan lebih 68,400 peserta di seluruh negara, melibatkan sebanyak 583 projek untung.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengucapkan tahniah kepada Felcra Berhad atas kejayaan mengekalkan prestasi cemerlang, dengan peningkatan keuntungan lebih RM192.5 juta atau 154 peratus berbanding tahun 2023.

“Ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras seluruh pasukan dalam memperkasakan ekonomi luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Felcra di Kampung Kuala Akob di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, daripada jumlah tersebut, Felcra Berhad telah melaksanakan pembayaran interim kepada peserta pada tahun lalu.

“Pembayaran Interim 1 kepada para peserta pada bulan Jun 2024 berjumlah lebih RM96 juta, diikuti dengan pembayaran Interim 2 pada bulan September 2024 dengan jumlah RM129 juta lebih sebagai komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan peserta sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Sementara itu, Felcra memaklumkan, dengan peningkatan itu, purata pendapatan bersih setahun seorang peserta meningkat kepada RM4,420 per hektar, sekali gus memperkukuh kestabilan ekonomi masyarakat luar bandar

Katanya, kejayaan itu didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit dalam Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P), yang mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar.

Selain itu, pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang kepada kejayaan tersebut, dengan pengurangan kos lebih RM401 per hektar, sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta.

“Matlamat Felcra adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar setiap bulan, atau RM1,800 setiap ekar setahun sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta.

“Dengan sokongan kukuh daripada KKDW serta pendekatan strategik yang lebih mampan, Felcra optimis dalam mencapai sasaran lebih tinggi bagi
tahun-tahun mendatang selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa sektor luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button