Pelari maraton tertua dunia, Fauja Singh, meninggal dunia pada usia 114 tahun
LONDON – Dunia sukan kehilangan seorang ikon luar biasa apabila pelari maraton veteran Britain kelahiran India, Fauja Singh, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Punjab, India, pada usia 114 tahun.
Menurut laporan media tempatan, mendiang dipercayai dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di kampung halamannya, Beas Pind, Jalandhar, semalam.
“Insiden itu menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Menurut kenyataan rasmi Sikhs In The City, sebagai memperingati dan menghargai jasa mendiang dalam sukan itu, satu acara larian di Ilford akan dijadikan acara penghargaan khas untuk Fauja Singh.
“Fauja bukan sekadar pelari maraton, beliau adalah simbol harapan, ketabahan dan kekuatan fizikal serta mental dalam menempuh usia emas,” jelasnya.
Fauja Singh, yang menetap di United Kingdom sejak tahun 1992, mula mencipta nama di persada antarabangsa apabila memecah beberapa rekod dunia bagi kategori umur warga emas dalam sukan maraton.
Dilahirkan pada 1 April 1911 di Punjab, beliau merupakan anak bongsu daripada empat beradik dalam keluarga petani.
Selepas kehilangan isterinya, Gian Kaur, beliau berhijrah ke England dan menetap di Ilford bersama anak lelakinya.
Lebih mengagumkan, penglibatan serius Fauja dalam maraton bermula pada usia 89 tahun, sekaligus mencabar persepsi umum terhadap batas kemampuan warga emas.
Penyertaan pertamanya di London Marathon tahun 2000 mencatat masa enam jam 54 minit sekali gus memadam rekod terdahulu bagi pelari berusia 90 tahun ke atas.
Kemuncaknya, pada 2011, beliau mencipta sejarah apabila menjadi manusia pertama berusia lebih 100 tahun yang berjaya menamatkan larian penuh maraton di Toronto, Kanada.
“Saya tidak berlari untuk mencipta nama. Saya berlari kerana ia membuatkan saya rasa hidup,” kata Fauja dalam satu wawancara terdahulu.
Beliau turut diberi penghormatan membawa obor Olimpik sempena temasya London 2012 sebelum mengumumkan persaraannya daripada dunia larian pada usia 101 tahun.
Legasi Fauja Singh terus dikenang sebagai inspirasi luar biasa bukan sahaja dalam dunia sukan tetapi juga dalam perjuangan menepis batasan usia dan membuktikan bahawa semangat manusia tiada hadnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






