BERITA SEMASA

FAM sahkan terima dokumen penuh penghakiman FIFA, akan guna segala saluran undang-undang lawan kes ini

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.

Menurut FAM dalam satu kenyataan, dengan penerimaan dokumen tersebut, FAM akan memulakan proses rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan oleh FIFA.

FAM menegaskan semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu berkenaan telah lengkap sepenuhnya dan sedia dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha mengelak peraturan kelayakan. Tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut FAM, segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh pihak persatuan mengikut prosedur yang ditetapkan.

FAM menegaskan bahawa semua pemain bertindak dengan penuh niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan serta pendaftaran rasmi yang dijalankan oleh FAM sendiri.

Pada masa sama, persatuan itu juga berpendapat bahawa beberapa penggambaran dalam keputusan FIFA adalah tidak tepat dan tidak adil dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh dalam proses rayuan.

“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.

“Kami akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” tegas kenyataan tersebut lagi.

FAM turut menjelaskan bahawa kes berkenaan melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport.

Sehubungan itu, FAM terikat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, yang melarang sebarang pendedahan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran rasmi. Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkaitan dengan pihak FIFA bagi tujuan penyelesaian kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button