BERITA SEMASASUKAN

FAM manfaatkan sebaik mungkin peruntukan tambahan kerajaan buat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berbesar hati dengan pengumuman daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tambahan peruntukan kepada RM30 juta buat Harimau Malaya.

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, FAM akan memanfaatkan sebaik mungkin tambahan peruntukan berkenaan bagi meningkatkan program pembangunan Harimau Malaya pada setiap peringkat.

Jelas beliau, usaha itu termasuk mempersiapkan pasukan utama supaya lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

“Dana ini juga akan digunakan oleh FAM bagi aspek pengurusan organisasi untuk memacu perubahan bagi memastikan pemain skuad kebangsaan mendapat sokongan yang terbaik daripada tenaga pakar yang dilantik.

“Peruntukan tambahan ini juga sudah pasti akan meningkatkan lagi motivasi buat pemain skuad kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Junjung kasih juga kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha kita meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak digandakan kepada RM30 juta, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.

Hamidin menambah, dana itu juga akan dimanfaatkan FAM dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.

“Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis Harimau Malaya dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dan secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan pemain berpengalaman,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, beberapa pakar telah dilantik sebagai langkah awal ‘revolusi’ Harimau Malaya, iaitu ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski; pengendali skuad B-23, Nafuzi Zain; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Robert Douglas Friend dan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan, Dr Craig Duncan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button