Berita SemasaSukan

Faisal kembali perkuat Harimau Malaya, status pemain warisan baharu diumum minggu depan

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai siapa pemain warisan baharu yang akan memperkuat Harimau Malaya masih belum terjawab selepas senarai skuad Harimau Malaya di bawah pengendali baharu, Peter Cklamovski diumumkan hari ini.

Daripada 27 pemain yang diumumkan, tiada pemain warisan baharu yang dipilih, sebaliknya Cklamovski menamakan pemain-pemain ‘lama’ yang pernah beraksi bersama Harimau Malaya sebelum ini.

Menurut Cklamovski, ketiadaan pemain warisan baharu dalam senarai tersebut disebabkan urusan untuk mendapatkan pasport mereka masih belum selesai, dan perkembangan mengenai status pemain itu mungkin akan diumumkan minggu hadapan.

“Proses untuk pemain warisan baharu di peringkat akhir, saya fikir berita yang positif akan hadir minggu depan. Siapa pun yang bermain di atas padang, mereka adalah pemain Malaysia.

“Saya difahamkan kertas kerja di peringkat akhir dan mungkin pasukan kebangsaan akan membuat pengumuman mungkin minggu depan,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Sementara itu, kehadiran semula pemain sayap, Faisal Halim, mencuri perhatian selepas hampir setahun tidak menyertai skuad kebangsaan, susulan insiden simbah asid yang menimpanya pada awal Mei tahun lalu.

Ditanya mengenai pemilihan Faisal, Cklamovski berkata, pemain Selangor FC itu mempunyai tekad dan semangat perjuangan yang kuat ketika beraksi di atas padang.

“Dia pemain yang positif dan mengujakan di atas padang. Namun, kita tidak bergantung hanya kepada seorang pemain, kekuatan pasukan adalah 11 pemain sama ada untuk menyerang, membuat hantaran dan segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, kem latihan pusat pertama di bawah Cklamovski akan bermula Isnin ini bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button