Berita Semasa

Fahmi serah bantuan tunai kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu Muhammad Basir

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM6,000 diserahkan kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Muhammad Basir Abu Bakar, hari ini, setelah Allahyarham meninggal dunia petang semalam akibat masalah kesihatan kronik.

Sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang turut memberikan RM1,000 sebagai sumbangan peribadi daripada beliau.

Menurut Fahmi, beliau amat terkesan dengan pemergian Allahyarham memandangkan beliau sendiri pernah melawatnya bagi menyerahkan bantuan pada tahun lalu.

“Saya pernah menziarahi Allahyarham yang merupakan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA pada April 2023, iaitu tabung yang diperkenalkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan.

“Sewaktu saya lawat Allahyarham tahun lalu antara yang kami telah usahakan adalah internet kerana Allahyarham mempunyai tiga orang yang masih belajar dan saya sangat terkesan kerana anak-anak ini telah menjadi yatim piatu,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau menziarahi keluarga Allahyarham di rumahnya di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Muhammad Basir, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras Perdana di sini, sekitar pukul 12 tengah hari tadi.

Lebih 300 sahabat Allahyarham yang terdiri daripada pengamal media dan bekas wartawan hadir menunaikan solat jenazah dan memberikan penghormatan terakhir buat jenazah.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya juga akan memberikan bantuan dalam bentuk perkhidmatan internet percuma selama setahun kepada tiga orang anak Allahyarham untuk memudahkan pembelajaran dan komunikasi mereka.

“Bantuan ini akan diberikan untuk membantu anak-anak ini berhubung dengan keluarga mereka dan sebagainya. Kita juga akan teliti untuk PERKESO sama ada boleh anak-anaknya jika menerima manfaat kita akan bantu,” katanya.

Sebagai rekod, Allahyarham Muhammad Basir pernah memenangi Anugerah Kajai Malaysia Press Institut (MPI) iaitu anugerah tertinggi dalam industri kewartawanan negara pada tahun 2005.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button