
Fahmi Reza bukan ‘flight risk’, sekatan perjalanan perlu diperjelas – Syahredzan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa pihak berkuasa tampil menjelaskan dakwaan aktivis Fahmi Reza bahawa beliau disekat daripada keluar negara.
Menurut Syahredzan, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa walaupun isu tersebut sudah beberapa hari dibangkitkan oleh Fahmi di media sosial.
“Saya tidak mengulas sejurus laporan itu disiarkan kerana mahu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk memberikan penjelasan. Namun sehingga kini, masih tiada maklum balas berhubung dakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP menegaskan bahawa larangan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana individu tidak sepatutnya dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu bersandarkan alasan yang kukuh dan wajar.
Jelasnya, ketika Fahmi berdepan beberapa siasatan dan pertuduhan sebelum ini, beliau masih dibenarkan ke luar negara dan tetap pulang serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa setiap kali diperlukan.
“Sekiranya benar ada sekatan perjalanan kerana beliau sedang disiasat, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Fahmi bukan individu yang berisiko melarikan diri,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Syahredzan menyeru pihak bertanggungjawab termasuk Kementerian Dalam Negeri agar tampil segera untuk mengesahkan dakwaan Fahmi Reza dan memberikan penjelasan sekiranya tindakan tersebut benar-benar diambil.
“Sistem perundangan perlu berasaskan prinsip keadilan dan ketelusan. Tindakan tanpa penjelasan yang jelas hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |