
Fahmi Fadzil ucap takziah atas pemergian bekas wartawan Utusan
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar, 46, yang meninggal dunia lewat petang tadi.
“Saya baru saja menerima khabar dukacita pemergian seorang bekas pengamal media yang juga penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Muhammad Basir Abu Bakar.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Fahmi Fadzil turut mengimbau pertemuannya dengan Allahyarham pada April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA, sambil menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham dalam dunia kewartawanan.
Beliau turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.
“Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka,” ujar Menteri Komunikasi.
Malaysia Tribune semalam melaporkan perkembangan terkini Allahyarham ketika dirawat di Unit Kardiologi Hospital Serdang, di sini, selepas mengalami komplikasi jantung, hati dan buah pinggang.
Muhammad Basir kemudian dipindahkan ke wad CCU dan dilaporkan meninggal dunia lewat petang ini selepas dipindahkan ke bahagian CCU.
Pada Oktober 2023, Allahyarham kehilangan isteri, Noor Azlina Jaafar yang juga bekas kakitangan Utusan Melayu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan dan seorang lelaki yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |