
Fadhlina santuni murid berkeperluan khas di SMK Pendidikan Khas Bumbong Lima
KEPALA BATAS – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkesempatan menyantuni murid-murid berkeperluan pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Bumbong Lima, di sini, dalam satu lawatan istimewa awal pagi tadi.
Lawatan yang turut disertai sesi bersahur bersama murid-murid tersebut menggamit momen penuh kemesraan dan kasih sayang.
Dalam perkongsiannya di media sosial, Fadhlina menggambarkan interaksi yang mencuit hati bersama para pelajar.

Salah seorang murid dengan penuh kegembiraan menyapanya dengan nada penuh ceria: “YBbbbbbbbbbb…. saya bertuah dapat jumpa Ahli Parlimen Nibong Tebal dan Menteri Pendidikan. Paling penting, saya dapat jumpa Ahli Parlimen Nibong Tebal!”
Seorang lagi murid bertanya dengan penuh rasa ingin tahu, “Are you the famous Fadhlina Sidek? The Minister of Education?”
Beliau kemudian menyambutnya dengan penuh rendah diri: “I’m so sorry darling, I’m not that famous, but you are right. I’m the Minister of Education.”
Momen lucu turut terjadi apabila seorang pelajar bertanya sama ada Fadhlina mengenali neneknya yang bekerja di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya.
Terkejut dengan soalan itu, Fadhlina sempat berseloroh: “Takpa sayang, nanti makcik cari nenek awak, ya?”

Interaksi penuh kasih sayang antara Fadhlina dan murid-murid turut terserlah apabila seorang pelajar mengungkapkan rasa suka kepadanya dan seorang lagi secara spontan meminta untuk memeluknya yang disambut mesra oleh beliau.
Menyingkap kembali detik penubuhan sekolah berkenaan kira-kira dua tahun lalu, Fadhlina menegaskan komitmennya dalam memastikan murid-murid berkeperluan pendidikan khas mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
“Hasrat saya cukup besar. Saya mahu melihat anak-anak berkeperluan pendidikan khas mendapat peluang yang lebih baik. Insya-Allah, di bawah kerajaan Madani, lebih banyak institusi pendidikan untuk anak-anak istimewa ini akan dibangunkan,” ujarnya.

Beliau juga mengakui bakat dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh murid-murid pendidikan khas dalam pelbagai bidang termasuk sukan, seni kreatif serta kemahiran tertentu.
“Setiap anak adalah sangat berharga dan mereka adalah permata negara,” tambahnya.
Lawatan ini jelas mencerminkan usaha kerajaan dalam memperkasakan pendidikan inklusif serta memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam arus pendidikan negara.
Fadhlina turut mengakhiri perkongsiannya dengan mesej penuh kasih buat anak-anak istimewa tersebut: “Jumpa lagi sayang!”
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |