BERITA SEMASA

Ewon Benedick saran graduan ceburi bidang keusahawanan

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyarankan supaya para graduan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, pada masa hadapan.

Menurut Ewon, saranan tersebut adalah kerana sektor keusahawanan mampu menawarkan peluang pekerjaan yang luas, selain membantu menyumbang kepada ekonomi negara.

“Semoga lebih ramai graduan dan anak muda menyahut cabaran berkerjaya sebagai usahawan sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang lain.

“Pada ketika ini sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara menyumbang kepada 39.1 peratus KDNK dalam negara, sektor PMKS ini juga menggaji 48 peratus daripada rakyat Malaysia.

“Ini membuktikan sektor keusahawanan juga boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan yang lain. Oleh itu saya berharap ada di kalangan graduan yang memperolehi pencapaian cemerlang menceburi bidang keusahawanan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Bank Rakyat (YBR), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimban; Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh; Timbalan Pengerusi YBR Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensinya menyediakan pelbagai skim khusus untuk graduan dan anak-anak muda menceburi sektor keusahawanan.

Beliau turut berkongsi kisah kejayaan usahawan-usahawan muda di negara ini yang beliau temui sepanjang lawatan kerja di seluruh negara.

“Saya berharap kisah kejayaan usahawan-usahawan itu dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada para graduan untuk terus mencipta kejayaan dalam kerjaya masing-masing sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, swasta atau untuk menjadi usahawan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 150 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 50 graduan Ijazah Sarjana masing-masing menerima Anugerah Kecemerlangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button