
Euro 2024: Sepanyol mara ke akhir, Yamal pecah rekod penjaring termuda
MUNICH – Bintang muda sensasi, Lamine Yamal, 16, mencipta sejarah sebagai penjaring gol termuda dalam Kejohanan Eropah ketika Sepanyol bangkit menewaskan Perancis 2-1, sekaligus mara ke pusingan akhir Euro 2024.
Sepanyol yang ketinggalan selepas Randal Kolo Muani menanduk masuk hantaran Kylian Mbappe pada minit ke-9 bangkit dengan semangat juang untuk mengejar kedudukan mereka.
Dalam tempoh hanya empat minit, Sepanyol berjaya menjaringkan dua gol, sekaligus memberikan kelebihan kepada pasukan mereka pada minit ke-21 dan ke-25.
Jaringan Sepanyol terhasil melalui penjaring termuda dalam Kejohanan Eropah, Lamine Yamal dan pemain RB Liepzig, Dani Olmo.
Yamal yang bakal menyambut ulang tahun ke-17 sehari sebelum perlawanan akhir Ahad ini menyamakan kedudukan dengan tendangan melengkung dari luar kotak penalti ke sudut atas gol menewaskan penjaga gol, Mike Maignan.
“Saya mendapat bola, tidak berfikir terlalu lama dan terus menyepak. Saya hanya menikmatinya dan bangga berada di final,” kata Yamal ketika temubual selepas perlawanan.
Sepanyol kemudian mendahului pada minit ke-25 apabila Dani Olmo melepaskan sepakan rendah yang terbias daripada pemain pertahanan Perancis, Jules Kounde.
“Kami hanya satu langkah daripada kemenangan. Kami sangat dekat. Pasukan ini luar biasa. Kami layak,” kata Olmo ketika temubual selepas perlawanan.
Juara tiga kali, Sepanyol menjadi pasukan pertama yang memenangi enam perlawanan di Kejohanan Eropah dan kini hanya satu perlawanan lagi untuk meraih gelaran keempat.
Penampilan di pusingan akhir Euro 2024 di Berlin hujung minggu ini merupakan kali pertama sejak Sepanyol menewaskan Itali 4-0 dalam pusingan akhir Euro 2012.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |