BERITA SEMASAPMX

EU berubah nada, mahu percepat perjanjian FTA dengan ASEAN

KUALA LUMPUR – Rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN dijangka dipercepat susulan pengumuman tarif besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada awalnya, EU dilihat berhati-hati untuk menandatangani perjanjian perdagangan dengan ASEAN, namun kini blok itu telah meminta agar proses rundingan dipercepatkan.

“Ada baiknya bila ada asakan daripada pihak luar (kerana sebelum ini) ASEAN merayu supaya FTA dengan EU tetapi EU menyulitkan.

“Apabila berlaku (kenaikan) tarif ini, sekarang EU minta kita percepatkan proses itu jadi kita harus laju dalam keadaan macam ini,” katanya pada Forum Ilmuan Malaysia Madani siri lima, malam tadi.

Forum bertajuk ‘Peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan dalam Menyemarakkan Transformasi Korporat: Keseimbangan Antara Keuntungan dan Tanggungjawab Sosial ke Arah Negara Kreatif’ adalah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Rundingan FTA antara EU dan ASEAN telah dimulakan sejak 2007, namun dihentikan pada 2009 bagi memberi laluan kepada rundingan dua hala.

Hasil daripada pendekatan itu, EU telah memeterai perjanjian FTA dengan Singapura dan Vietnam, selain menjalankan rundingan dengan beberapa negara lain termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Sebagai rekod, EU merupakan rakan dagang ketiga terbesar ASEAN selepas AS dan China, dengan jumlah dagangan barangan bernilai sekitar RM1.2 trilion pada 2023 dan perkhidmatan sebanyak RM633 bilion pada 2022.

Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan negara itu akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi membabitkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

AS bagaimanapun memberi penangguhan selama 90 hari tarif ke atas 75 negara, termasuk Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button