
ETS terkandas, KTMB tawar pemulangan tambang penuh
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan dalam kejadian perkhidmatan tren elektrik (ETS) tergendala kelmarin.
KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya juga menyarankan agar penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium untuk membuat tuntutan insurans.
“Kesulitan ini amat kami kesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Para penumpang yang terkesan diminta untuk menghantar permohonan ke emel callcenter@ktmb.com.my.
“Bagi penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium, agen Khidmat Pelanggan kami akan menghubungi penumpang selewat-lewatnya Jumaat, 12 April ini, jika tidak, penumpang boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau e-mel kepada support@goinsure.com.my,” katanya.
Kelmarin, ETS yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth terkandas kerana mengalami masalah teknikal dan terputus bekalan elektrik.
Ia terkandas di laluan pada 5 petang hingga hampir 8 malam.
Tambah KTMB, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian membabitkan laluan Kamunting dan Bukit Merah.
“Gangguan ini disebabkan oleh talian elektrik (alat talian atas) yang terputus luar jangka dan membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.
“Kru tren bertugas telah mengambil langkah untuk membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.
“KTMB juga turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman.
“Lokomotif bantuan telah dihantar namun gagal untuk menyelamatkan tren
ETS yang terkandas dan pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






