
Enam mangsa dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit
KUCHING – Enam individu, termasuk wanita dan kanak-kanak, dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, awal pagi ini.
Mangsa melibatkan dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki manakala seorang lelaki dewasa dilaporkan terselamat.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.58 pagi.
“Setibanya di lokasi yang terletak tiga kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral pada pukul 3.03 pagi, kami dimaklumkan oleh polis mengenai kemungkinan terdapat enam mangsa yang tertimbus,” memetik laporan Buletin Tv3.
Beliau berkata, seramai 15 anggota dari BBP Miri Sentral dan BBP Lopeng dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
“Setakat pukul 3.48 pagi, usaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus masih giat dijalankan,” tambahnya.
Sementara itu, insiden tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak kelmarin yang menyebabkan runtuhan tebing Bukit Kanada berhampiran kampung berkenaan.
Semalam, sebanyak 32 rumah di kampung itu terjejas menyebabkan 273 penduduk diarah berpindah bagi mengelakkan risiko kejadian yang lebih buruk.
Operasi menyelamat dijangka mengambil masa berikutan keadaan tanah yang tidak stabil dan pihak berkuasa meminta orang ramai menjauhi kawasan berkenaan demi keselamatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |