
Enam juruterbang TUDM terpilih jalani latihan intensif di Korea Selatan
KUALA LUMPUR – Enam juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terpilih menjalani latihan intensif untuk membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat baharu FA-50M di Korea Selatan pada Oktober ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook, TUDM memaklumkan seramai 51 anggota kejuruteraannya akan menyertai kursus senggaraan bermula Januari tahun hadapan sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat dalam perkhidmatan TUDM kelak.
Kenyataan itu dibuat susulan lawatan kerja Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan ke Korea Aerospace Industries (KAI) di Korea Selatan pada 17 dan 18 Februari lalu untuk meninjau perkembangan pembangunan pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Pesawat FLIT-LCA itu bakal diperoleh TUDM pada tahun 2026.
Lawatan tersebut menandakan satu pencapaian penting setelah termeterainya kontrak perolehan antara Kerajaan Malaysia dengan KAI.
Ia turut menjadi platform untuk melihat sendiri kemajuan dalam proses pembangunan aset baharu TUDM yang bakal menjadi pemangkin kepada evolusi keupayaan operasi dan latihan pertempuran udara negara.
Mohd Asghar Khan diiringi oleh Pengarah Projek Udara, MTU-P&P, Kolonel Razali Ahmad Jumali dan Ketua Timbalan Projek FLIT-LCA, Kolonel Fazrul Azwan Mustafa.
Semasa lawatan berkenaan, Mohd Asghar Khan mencipta detik bersejarah apabila turut serta dalam penerbangan pesawat FA-50 milik KAI bersama juruterbang penguji.
“Pengalaman secara langsung ini membolehkan PTU menguji keupayaan pesawat dalam aspek pergerakan, sistem avionik serta kesesuaian pesawat tersebut untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan TUDM.
“Berdasarkan penilaian beliau, pesawat FA-50M bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan taktikal tetapi juga berpotensi menjadi aset strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” menurut kenyataan itu.

Hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan terus diperteguh apabila PTU mengunjungi syarikat Hanwha Aerospace dan Korea Aviation Engineering & Maintenance Services (KAEMS).
Kedua-dua syarikat itu memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan pesawat FA-50M, memastikan kelangsungan operasi dan keberkesanan perkhidmatan pesawat ini dalam jangka panjang.
Secara keseluruhannya, PTU berpuas hati dengan kemajuan pembangunan pesawat FA-50M.
Lawatan itu bukan sahaja memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan aset baharu TUDM tetapi juga menandakan era baharu dalam kerjasama strategik antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |