BERITA SEMASALUAR NEGARA

Empat termasuk anggota polis terbunuh dalam tembakan di New York, suspek bunuh diri

NEW YORK – Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bangunan pencakar langit di Midtown Manhattan yang menempatkan ibu pejabat Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) dan beberapa firma kewangan termasuk Blackstone, semalam.

Insiden tragis itu mengorbankan empat individu termasuk seorang anggota polis New York berusia 36 tahun, menurut pihak berkuasa bandar tersebut.

Tiga lagi mangsa adalah orang awam.

Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch memaklumkan, suspek berasal dari Las Vegas itu dipercayai memandu ke New York sebelum melancarkan serangan secara bersendirian.

“Suspek menamatkan serangan dengan menembak dirinya sendiri di bahagian dada. Setakat ini, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media.

Beberapa saluran media utama Amerika Syarikat termasuk CNN menyiarkan imej yang dikatakan diperoleh daripada pihak polis menunjukkan suspek membawa masuk selaras raifel ke dalam bangunan.

Pemeriksaan awal terhadap latar belakang suspek tidak menemukan sebarang rekod jenayah yang ketara, menurut laporan CNN yang memetik sumber rasmi.

Bangunan pencakar langit di 345 Park Avenue itu turut menempatkan pejabat firma ternama seperti Blackstone dan KPMG, selain ibu pejabat NFL.

“Saya nampak suasana kelam-kabut, ramai orang menjerit dan polis bergegas ke bangunan itu,” kata Russ McGee, 31, yang ketika itu sedang bersenam di gim bersebelahan bangunan.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) turut mengesahkan kehadiran anggotanya dari pejabat New York untuk membantu siasatan dan kawalan situasi di tempat kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button