
Empat rakyat Malaysia cedera ringan kemalangan bas di Norway – Wisma Putra
PUTRAJAYA – Empat rakyat Malaysia disahkan antara yang cedera dalam kemalangan sebuah bas pelancong berhampiran Tasik Asvatnet di Norway, kelmarin.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, keempat-empat individu itu mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.
“Penumpang dengan kecederaan ringan dipindahkan ke pusat krisis di dua hotel, iaitu Hotel Richard di Stokmarknes dan Thon Hotel di Lofoten. Empat warganegara Malaysia disahkan menginap di Thon Hotel, di mana mereka telah disediakan penginapan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Jelas Wisma Putra lagi, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang memantau rapat segala perkembangan berkaitan kemalangan itu.
“Siasatan sedang berjalan, ditambah pula dengan keadaan musim sejuk yang teruk termasuk salji lebat, angin kencang dan jarak lokasi kemalangan yang jauh kira-kira 1,500 kilometer dari Oslo, menimbulkan cabaran logistik yang ketara dalam mengakses dan menyokong individu yang terjejas.
“Walaupun berhadapan cabaran ini, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia tetap komited untuk membantu warganegara Malaysia yang terlibat,” katanya lagi.
Disebabkan siasatan yang sedang dijalankan, penumpang-penumpang tidak dibenarkan mengakses telefon atau berkomunikasi terus dengan dunia luar, manakala kakitangan hotel juga dilarang memulakan hubungan dengan penumpang-penumpang terbabit.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, kemalangan tersebut mengorbankan tiga nyawa, manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas tersebut terbabas dari lebuh raya lalu terjunam ke dalam tasik di utara Norway.
Nahas tersebut dipercayai berlaku ketika cuaca buruk, termasuk salji tebal dan angin kencang, menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |