
Empat premis diarah tutup, 19 warga asing ditahan dalam operasi khas di Brickfields
KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan premis perniagaan diperiksa dalam satu operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields, di sini, dengan empat daripadanya diarah tutup serta-merta atas pelbagai kesalahan melibatkan lesen dan pematuhan peraturan.
Operasi Tindakan Khas KL Strike Force itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Wilayah Persekutuan.
DBKL dalam kenyataannya berkata, premis yang diarahkan tutup melakukan pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta UUK Pelesenan dan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.
Katanya, sebanyak tujuh notis kompaun turut dikeluarkan atas pelanggaran mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan UUK berkaitan.
Dalam operasi sama, JIM menjalankan pemeriksaan terhadap individu warga asing dan menahan seramai 19 orang, terdiri daripada 17 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan.
“Kesemua mereka ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas dan permit kerja,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, KPDN turut mengeluarkan enam kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 berhubung kesalahan berkaitan penandaan harga dan penggunaan alat timbang yang tidak sah.
Empat kes lagi disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan penyitaan barangan kawalan seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan lain-lain yang didapati disimpan atau dijual tanpa lesen yang sah.
“Operasi ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan dan undang-undang sedia ada, khususnya dalam sektor perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |