Empat lokasi baharu catat IPU tidak sihat
KUALA LUMPUR – Empat kawasan baharu di Pahang, Kuala Lumpur, Terengganu dan Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 8 pagi tadi, menjadikan sembilan lokasi terjejas setakat ini.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), empat kawasan baharu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Temerloh, Pahang (156); Cheras, Kuala Lumpur (152); Kemaman, Terengganu (152) dan Bukit Rambai, Melaka (103).
Alor Gajah, Melaka kekal mencatat bacaan IPU tertinggi pada 159, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (158), Banting, Selangor (155), Johan Setia, Selangor (152) dan Putrajaya (123).
Selain itu, tiga kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik manakala 56 kawasan lain berada pada tahap sederhana.
Sementara itu, fenomena jerebu rentas sempadan terus memberi kesan kepada beberapa negeri di Semenanjung terutamanya di kawasan pantai barat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip sebelum ini memaklumkan, laporan dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati sebanyak 79 titik panas dikenal pasti di kawasan Sumatera.
Beliau berkata, keadaan itu berkemungkinan menjadi punca kepada jerebu yang melanda Malaysia ketika ini susulan tiupan angin barat daya yang membawa asap dan habuk merentasi sempadan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








