Eksesais Keris Strike 25, Warrior 2025 perkukuh kerjasama pertahanan antarabangsa
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Eksesais Keris Strike 25 (KrS25) dan penganjuran Bersama Warrior 2025 menjadi bukti komitmen Malaysia memperkukuh aspek keselamatan serta kesiapsiagaan pertahanan melalui kerjasama strategik bersama negara sahabat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu turut memberi peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan keupayaan operasi, kebolehoperasian dan kesediaan tempur dengan pasukan tentera asing berdasarkan taktik, teknik serta prosedur standard antarabangsa.
Selain itu, katanya, penyertaan Australia dan Amerika Syarikat (AS) dalam latihan berkenaan memperlihatkan tahap keyakinan tinggi negara luar terhadap ATM sebagai rakan strategik yang berwibawa.
“Latihan ini memperkukuh diplomasi pertahanan melalui perkongsian maklumat, pengalaman serta kepakaran untuk memastikan kestabilan rantau Indo-Pasifik, selain meningkatkan profesionalisme dan teknologi pertahanan.
“ATM memanfaatkan latihan ini untuk meningkatkan kemahiran anggota melalui pemindahan ilmu dan kepakaran, selain pendedahan kepada teknologi, peralatan serta doktrin ketenteraan.
“Pengalaman seperti ini akan menjadi asas dalam memperkukuh transformasi pertahanan negara agar kekal relevan dengan ancaman kontemporari,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, latihan berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh jaringan kerjasama pertahanan antarabangsa.
“Negara akan terus memperluas penyertaan dalam latihan multilateral dan bilateral, meningkatkan perkongsian maklumat strategik dan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Ini juga bagi memperkukuh hubungan pertahanan dengan negara sahabat melalui memorandum persefahaman, forum keselamatan serantau serta program bersifat strategik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






