BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Ekosistem persekitaran penting dalam usaha pertahankan negara-Khaled Nordin

KOTA KINABALU – Tanggungjawab mempertahankan negara bukan hanya bergantung kepada anggota keselamatan semata-mata, tetapi memerlukan ekosistem persekitaran yang stabil dan kukuh dalam menyokong usaha tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa tanpa kestabilan politik, keutuhan pentadbiran serta keupayaan kerajaan mengurus dan memajukan rakyat, beban menjaga keselamatan negara akan menjadi lebih berat kepada anggota pertahanan.

“Sebagai warga pertahanan negara, maknanya kita yang ada di sini merupakan kumpulan yang sangat pentingkan soal keselamatan negara. Kita tidak ambil mudah soal keselamatan dan kita merupakan kumpulan yang tidak mengabaikan soal keselamatan negara

“Bukan sahaja kita yang menjaga keselamatan negara tetapi kita mahu supaya ekosistem sekeliling kita itu menyumbang dan menjamin kepada keselamatan. Jika keadaan sekeliling tidak menyumbang kepada keselamatan maka kita yang bertanggungjawab dan tentunya mempunyai beban serta tanggungjawab yang lebih untuk Menjaga dan menjaga keselamatan.

“Di sinilah kita perlu mempunyai kesedaran betapa pentingnya ekosistem keselamatan di sekeliling kita. Ekosistem kehidupan itu menyumbang kepada keadaan keselamatanya yang boleh menjayakan kita memainkan peranan kita,” katanya ketika berucap sempena Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sepanggar, di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar, di sini, pada Ahad.

Ekosistem
Mohamed Khaled bersama warga ATM selepas menyempurnakan Karnival Hari Keluarga Warga ATM Sepanggar, di Stadium Pangkalan TLDM Sepanggar, Kota Kinabalu.

Tambah beliau lagi, keadaan hari ini menuntut semua pihak untuk bersama-sama membangunkan ekosistem persekitaran yang menyumbang kepada keselamatan, supaya anggota pertahanan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Menurutnya, keadaan itu juga adalah bagi memastikan keluarga anggota berasa lebih tenang kerana suami atau isteri yang berkhidmat tidak berdepan cabaran keselamatan yang berlebihan.

“Maka antara kita suka, tak suka, kita kena pastikan di Sabah ini negerinya mesti mempunyai kerajaan yang kuat dan juga stabil. Kalau kerajaan tak kuat, tak stabil, kalau di luar sana berpecah, bagaimana semua anggota nak laksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja perlu stabil dan kuat, tetapi juga mesti berkeupayaan mengurus, memajukan rakyat serta membawa kemakmuran kepada negeri dan negara.

“Itulah agenda kita..Itu bermakna tidak cukup kerajaan yang kuat, kerajaan yang stabil tapi kalau kerajaan itu tak mampu untuk mengurus dan memajukan rakyat, memajukan negeri dan negara serta menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar beliau berharap agar isu keselamatan tidak dipolitikkan kerana ia merupakan perkara yang sangat penting dan tidak boleh diabaikan atau dikompromi.

“Soal keselamatan tidak boleh dijadikan asas untuk dipolitikkan sebab keselamatan penting bagi kita, ada hubungan baik antara negeri dan juga Persekutuan dan jangan ada
hasutan membenci Persekutuan kerana itu akan menyusahkan kita sebagai anggota Persekutuan yang menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button