
E-Invois: LHDN kenal pasti 66,000 perniagaan tiada aturan bayaran, rekod pelaporan cukai
CYBERJAYA – Sejumlah 66,000 perniagaan dikenal pasti tidak mempunyai atau mematuhi bayaran ansuran anggaran cukai mengikut peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tiada rekod pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan oleh perniagaan berkenaan dengan sejumlah 4 juta e-Invois telah dikeluarkan oleh 66,000 perniagaan tersebut.
“Sehubungan itu, peniagaan terlibat disarankan untuk sentiasa mengemaskini rekod cukai mereka dan memastikan pematuhan sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak LHDN,” kata LHDN dalamm satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan pelaksanaan e-Invois, LHDN memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois untuk memastikan pematuhan cukai secara sukarela dan berterusan, selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara.
Terdahulu, LHDN memaklumkan melalui pelaksanaan e-Invois, LHDN telah menerima maklumat individu dan syarikat yang menjalankan perniagaan melalui Platform e-Dagang sejak 1 Ogos 2024.
Tambah LHDN, penyertaan pembayar cukai bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama dan kedua yang melaksanakan e-Invois mulai 1 Januari 2025, malah turut disertai oleh pembayar cukai fasa ketiga secara sukarela.
“Ini menunjukkan tahap penerimaan yang baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois,” katanya sambil menambah sekitar 196 juta e-Invois telah dikeluarkan setakat 3 Mac 2025.
Dalam pada itu, LHDN turut memaklumkan tempoh kelonggaran pembayar cukai fasa pertama telah tamat pada 31 Januari 2025 dan mereka yang tercicir perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan e-Invois bermula 1 Februari 2025.
Di samping itu, LHDN turut menyediakan pelbagai saluran komunikasi bagi membolehkan pembayar cukai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan e-Invois.
Pembayar cukai disarankan untuk menghubungi saluran khas e-Invois yang disediakan oleh LHDN bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat mengenai pelaksanaan e-Invois.
Beberapa saluran yang boleh dihubungi termasuk Meja Bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam), MyInvois Live Chat, e-mel di myinvois@hasil.gov.my untuk pertanyaan umum, serta Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois yang boleh diakses di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my./.
Selain itu, pembayar cukai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan mengenai pelaksanaan e-Invois dengan mengunjungi Pejabat LHDN yang berdekatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |