
Dun Kota Kemuning komited bantu mangsa kebakaran Putra Heights
KOTA KEMUNING – DUN Kota Kemuning memberi jaminan akan terus membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya sehingga mereka dapat bangkit semula.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, pihaknya akan memastikan semua mangsa menerima bantuan yang sewajarnya serta mendapat perlindungan sementara yang diperlukan.
“Kami komited untuk terus bersama mangsa dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.
“Pusat Khidmat ADUN Kota Kemuning juga bersedia membantu mana-mana keluarga yang memerlukan bantuan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkembangan terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bantuan disalurkan secara cepat dan adil.
Sebagai langkah segera, kerajaan telah bersetuju menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa terjejas.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan segera yang akan disalurkan kepada mangsa terjejas.
Melalui bantuan itu, pemilik rumah yang mengalami kerosakan keseluruhan akan menerima RM5,000, manakala mereka yang mengalami kerosakan sebahagian akan menerima RM2,500.
Selain itu, Preakas berkata pihaknya akan memastikan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan serta Petronas bekerjasama dalam usaha pemulihan kawasan terjejas.
Dalam pada itu, Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor telah memberikan jaminan bahawa satu siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kita mahu langkah-langkah pencegahan diambil agar insiden seperti ini tidak berulang. Mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan dan dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka,” katanya lagi.
Preakas turut menzahirkan penghargaan kepada pihak bomba, polis, petugas perubatan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus menangani situasi tersebut.
Beliau turut menghargai peranan Sri Maha Kaliaman Temple, Masjid Putra Heights dan NGO-NGO yang membantu mangsa kebakaran.
Mangsa yang memerlukan bantuan lanjut boleh menghubungi Pusat Khidmat ADUN Kota Kemuning untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang disediakan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |