BERITA SEMASA

Dua suspek miliki lebih 100 rekod jenayah disyaki terbabit curi kenderaan mewah

SEREMBAN – Dua lelaki yang masing-masing memiliki 61 dan 77 rekod jenayah dan dikehendaki atas beberapa kesalahan termasuk cubaan bunuh dan dadah diberkas polis kerana disyaki terbabit dalam sindiket mencuri kenderaan mewah di beberapa negeri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, tangkapan bersama seorang lagi individu itu dilakukan selepas seorang mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan sebuah kereta jenis Honda Civic RS miliknya yang dilarikan di sebuah pusat cuci kereta di sini, kelmarin.

“Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa mendakwa suspek mengambil kunci keretanya tanpa kebenaran sebelum melarikan kenderaan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSPD) Seremban berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 34 hingga 48 tahun di Cheras, Selangor pada pukul 5.30 petang semalam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pihak polis turut menemui semula kenderaan yang dilaporkan hilang serta merampas sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan dicuri di Petaling Jaya, Selangor pada 16 Mei lalu.

“Hasil serbuan juga menemukan pelbagai peralatan mencurigakan termasuk mesin programmer, alat pembuka kunci tambahan, alat pengacau isyarat (jammer), 12 pasang nombor pendaftaran kenderaan, kunci-kunci kereta, tujuh kad Touch ‘n Go serta pelbagai beg tangan berjenama.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui tujuh paket dadah disyaki jenis syabu, heroin dan pil yaba,” katanya.

Mohamad Hatta berkata, semakan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod jenayah termasuk dua rekod dikehendaki bagi kesalahan dadah dan curi kenderaan mewah, manakala seorang lagi memiliki 61 rekod jenayah serta dikehendaki polis bagi siasatan cubaan bunuh di Bentong, Pahang.

“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine. Mereka kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek-suspek terbabit dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes curi kenderaan mewah di Seremban, Lembah Klang, Melaka dan Batu Pahat, Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button