
Dua pelajar UTeM maut, kereta terbabas rempuh penghadang jalan
JASIN – Dua daripada empat wanita, yang merupakan penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, dua penumpang Perodua Myvi, masing-masing di bahagian hadapan dan belakang sebelah kiri, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan, masing-masing berusia 19 tahun, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara itu, pemandu kereta, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, dan penumpang belakang sebelah kanan, Azwalidiya Azman, 21, mengalami kecederaan pada kaki serta luka ringan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu hanya membabitkan sebuah Perodua Myvi yang terbabas sendiri di lokasi dan tiada kenderaan lain.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Johor menghala ke Melaka itu terbabas sehingga melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, punca kemalangan dipercayai akibat gagal mengawal kenderaan tetapi siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, mayat dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Jasin, untuk bedah siasat, manakala dua lagi yang cedera dirawat di Bahagian Kecemasan, Hospital Melaka.
Sementara itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam satu kenyataan memaklumkan akan membantu serta membiayai pengurusan jenazah dua pelajarnya yang maut itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |