Dua Lipa pecat pengurus Yahudi hasut Glastonbury tolak Kneecap
LONDON – Bintang pop antarabangsa, Dua Lipa, baru-baru ini dilaporkan memecat pengurus berbangsa Yahudinya, David Levy, selepas lelaki itu dipercayai terlibat dalam kempen fitnah untuk menghalang kumpulan rap Ireland, Kneecap, daripada membuat persembahan di Festival Glastonbury.
Tindakan itu dibuat Dua Lipa selepas mengetahui Levy merupakan salah seorang daripada penghasut kepada pengasas festival musik berkenaan iaitu Michael Eavis supaya kumpulan rap pro-Palestin itu digugurkan daripada membuat persembahan atas dakwaan mempunyai kaitan politik.
Pendedahan mengenai tindakan Levy yang didakwa mengirim surat kepada Eavis itu mendorong Dua Lipa segera menamatkan kerjasama dengan Levy yang telah lama berkhidmat sebagai pengurusnya.
Penyanyi kelahiran Britain berketurunan Albania-Kosovo itu juga dilaporkan berjanji untuk memastikan Levy tidak lagi terbabit dalam mana-mana penerbitan muziknya.

Dua Lipa yang lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin dikatakan tidak dapat menerima tindakan pengurusnya yang sehaluan dengan Israel dan menyokong genosid di Gaza.
Pemenang Anugerah Grammy itu sebelum ini lantang dalam menyuara dan memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Pada Mei tahun lalu, beliau menggunakan akaun Instagram miliknya yang mempunyai lebih 88 juta pengikut untuk mengecam tindakan genosid Israel di Gaza, selain pernah menyertai perhimpunan mengecam keterlibatan Britain dalam peperangan tersebut.
Pada Julai lalu, kumpulan Kneecap tetap meneruskan persembahan mereka di Glastonbury dan disiasat polis selepas beberapa aduan dibuat terhadap mereka.
Kumpulan berkenaan menyifatkan siasatan polis Britain itu sebagai satu bentuk “intimidasi politik.”
Sejak 7 Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah meragut hampir 65,300 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






