BERITA SEMASA

Dua lelaki makan guna resit palsu ditahan

SHAH ALAM – Dua lelaki yang disyaki menggunakan resit palsu sebagai bukti pembayaran di sebuah restoran di Seksyen 13, di sini, dalam dua kejadian berasingan pada 14 dan 20 April lalu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan pada jam 2.50 pagi selepas pemilik restoran membuat laporan polis dengan mendakwa ditipu sebanyak dua kali oleh individu yang sama.

“Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi turut memiliki beberapa rekod jenayah lain.

“Mahkamah Shah Alam telah membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek bermula 21 April hingga 24 April ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, taktik menggunakan resit palsu melibatkan pembayaran digital kini semakin kerap digunakan penjenayah dan peniaga dinasihatkan agar lebih berhati-hati.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai, khususnya pengusaha premis makanan, supaya sentiasa menyemak kesahihan resit pembayaran yang diterima, terutama bagi transaksi tanpa tunai yang mudah dimanipulasi,” katanya.

Terdahulu, kes berkenaan turut tular di media sosial selepas kedua-dua suspek dikatakan menikmati makanan di restoran yang sama selama dua hari berturut-turut dengan menggunakan resit palsu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika disabitkan kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button