Berita SemasaLuar Negara

Dua lagi wartawan Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel

GAZA – Serangan udara Israel ke atas sebuah kereta berhampiran Rafah di selatan Gaza semalam membunuh dua wartawan Palestin, lapor pegawai kesihatan di Gaza dan kesatuan wartawan di sana.

Memetik laporan Reuters, Hamza Al-Dahdouh dan Mustafa Thuraya kedua-duanya adalah wartawan bebas.

Al-Dahdouh merupakan wartawan bebas untuk Al Jazeera dan merupakan anak kepada ketua koresponden stesen TV yang berpangkalan di Qatar di Gaza, Wael Al-Dahdouh.

Seorang lagi wartawan bebas, Hazem Raja turut tercedera dalam serangan tersebut.

Rangkaian media, Al Jazeera mengecam pembunuhan kedua-dua wartawan bebas tersebut dan mendakwa ia adalah serangan yang disengajakan.

“Kami menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kerajaan dan pertubuhan hak asasi manusia, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mempertanggungjawabkan Israel atas jenayah kejinya dan menuntut penamatan sasaran dan pembunuhan wartawan,” kata rangkaian itu.

Tentera Israel walau bagaimanapun tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung serangan tersebut.

Sejak Perang Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu, 77 wartawan dan pekerja media telah terbunuh terdiri daripada 70 rakyat Palestin, empat warga Israel dan tiga warga Lubnan, kata Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) iaitu sebuah badan pemerhati antarabangsa.

Setiausaha Negara A.S. Antony Blinken berkata pembunuhan semalam adalah “tragedi yang tidak dapat dibayangkan” dan bahawa beliau “sangat menyesal” atas kehilangan keluarga Al-Dahdouh.

“Seorang (wartawan terbunuh) terlalu ramai” kata Blinken pada sidang akhbar di Doha, ibu negara Qatar.

Seorang lagi wartawan yang maut membuat liputan mengenai konflik itu ialah wartawan visual Reuters Issam Abdallah.

Issam yang juga warganegara Lubnan, dibunuh pada 13 Oktober lalu oleh kru kereta kebal Israel semasa merakam tembakan rentas sempadan di Lubnan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button